Bagaimana Untuk Bercinta Kerana Allah?

Imam Syafie pernah ditanya oleh isterinya, “Suamiku, apakah engkau mencintaiku?” Beliau menjawab, “Ya tentu saja, dirimu adalah sebahagian dalam hidupku.” Mendengar itu, isterinya bertanya lagi “Apakah engkau juga mencintai Allah?

Bagaimana mungkin dua cinta menyatu dalam hati seorang mukmin, Cinta kepada Allah dan juga mencintaiku?” Beliau tersenyum dan mengatakan kepada isterinya dengan pandangan mata yang lembut penuh kasih sayang.

“Kerana cintaku kepada Allah, maka aku mencintai makhlukNya, memperlakukan dengan hormat dan penuh kasih sayang terhadap isteriku, anak-anakku dan sesama insan. Aku mencintaimu kerana cintaku kepada Allah.”

Tiada satu pun perkara dalam dunia ini terlepas dari ciptaan Allah. Seandainya kita mencintai seseorang, sedarlah bahawa orang itu juga adalah ciptaan Allah. Maka yang manakah perkara yang lebih layak dicintai? Penciptanya atau penghasilan-Nya? Sudah tentu penciptanya kerana kita sendiri adalah makhluk yang diciptakan-Nya. Mana mungkin kita mampu mempunyai rasa cinta dan kasih sayang seandainya diri tidak dilahirkan ke dunia ini.

Oleh itu adalah satu kesalahan andainya kita tidak sandarkan rasa suka, kasih sayang dan cinta yang kita miliki ini pada Allah yang menciptakan kita semua. Seharusnya rasa cinta yang hadir kepada manusia itu menambahkan lagi rasa cinta kita kepada Allah kerana hal itu telah menyempurnakan hidup kita.

Apabila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita akan mendekatkan dirinya kepada Allah. Kita juga mahu dirinya mendekatkan diri kita kepada Allah. Segala salah silap ditegur demi mendapat keredhaan Allah. Bukan membiarkan dirinya hanyut dan leka dalam nikmat dunia. Kita dapat perhatikan ramai manusia membiarkan pasangannya bergelumang dalam kehidupan penuh maksiat sedangkan dalam masa yang sama dia mengaku mencintai pasangannya. Cinta seperti ini bukanlah cinta yang dikehendaki dalam Islam dan inilah contoh gambaran cinta kepada manusia bukan kerana mereka mencintai Allah.

Oleh Syeikh al-Kubrawiyyah.

Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus ikhlas dalam berkasih sayang, dan selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.

Allah telah berfirman dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud:

Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang sayang menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang kunjung mengunjungi keranaKu, dan dua orang yang tolong menolong keranaKu.

FirmanNya lagi dalam hadis Qudsi yang lain bermaksud:

Mana dia orang yang bercinta kerana keagunganKu? Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah nauganKu, iaitu hari yang tiada naungan selain dari naunganKu.

Rasulullah bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah.

Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat setia kepada perintah Allah, maka hal demikian itulah yang dikatakan bercinta kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk taat setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta kerana Allah.

Ataupun jika ia mencinta seseorang itu kerana membantunya dalam urusan keduniaan yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk dalam bercinta kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya ataupun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan dalam hal ehwal kehidupannya yang menerusinya ia mampu hidup senang lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta tabii, cinta biasa yang tiada kena mengena dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan diri semata-mata dan meskipun demikian ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.

Dipetik dari kitab An-Nashaihu ad-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah: Saiyidina Ghautsul Anam Wa-Dairah Quthubi Rahal Islam Imam Habib Abdullah al-Haddad al-Alawi al-Husaini al-Hadhrami as-Syafie.

Sharing is Caring.

Ganjaran Amalan Akan Digandakan Pada Hari Jumaat.

JUMAAT adalah hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Ia adalah hari untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah.

Umat Islam bukan saja melakukan ibadat harian wajib seperti solat fardu, bahkan Nabi Muhammad saw menganjurkan beberapa ibadat sunat yang dapat menambahkan ketakwaan kepada Allah. Antara ibadah itu adalah:


Membaca surah as-Sajdah pada sembahyang Subuh yang diiringi pula sujud tilawah ke hadrat Allah.

Tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah. Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila anak cucu Nabi Adam membaca surah as-Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: "Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam diperintah untuk sujud kepada Allah, lantas mereka sujud kepada Allah. Maka, bagi mereka itu balasannya syurga, sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar. Oleh itu, untukku api neraka." (Hadis riwayat Abu Daud)


Membaca surah al-Kahfi.

Ganjaran bagi orang yang membacanya adalah mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah sepanjang minggu itu.

Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada Jumaat, nescaya Allah akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat." (Hadis riwayat Baihaqi)


Membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi.

Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi pada Jumaat adalah kasih sayang dari Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud:

”Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkan berselawat ke atasku, kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku."

Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan baik hamba-Nya yang soleh.

Umat Islam digalakkan mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat dan pada siangnya, bersegera ke masjid seawal waktu yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala yang besar.

Mereka yang mendengar khutbah Jumaat dengan khusyuk dan bersedekah kepada orang miskin pada Jumaat, itulah orang yang mendapat ganjaran besar daripada Allah.

Keistimewaan itu bertambah menyerlah apabila Allah mensyariatkan sembahyang Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.

Antara kepentingannya adalah:


Mengukuhkan ikatan kasih sayang antara sesama Islam, yang mana ia adalah unsur terpenting bagi menjamin kekuatan umat Islam.


Memberi ilmu, tunjuk ajar serta nasihat kepada umat Islam melalui khutbah. Ia adalah peluang terbaik untuk memperbaiki kualiti diri.

Pentingnya sembahyang Jumaat, Nabi memberi amaran keras kepada mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Rasulullah bersabda bermaksud : “Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”

Sembahyang Jumaat ini terlalu penting. Oleh itu, bagi memastikan umat Islam berada di atas landasan yang membawa kecemerlangan dan kejayaan, Baginda meletakkan garis panduan kepada mereka yang menghadirinya.

Perkara itu , bagi memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya. Antaranya adalah:


Mengemas diri dengan sebaik-baiknya dan mandi membersihkan dirinya. Ia agar jemaah lain, terutama yang berhampiran dengannya tidak terganggu oleh bau badan atau pakaiannya yang busuk.

Nabi bersabda bermaksud: ”Apabila seseorang kamu menghadiri sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi." (Hadis riwayat Muslim)


Segera ke masjid dengan penuh ketenangan.

Mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca al-Quran serta berpeluang mendengar khutbah dengan jelas. Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa yang mandi pada Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada awal waktu, maka seolah-olah dia berkorban seekor unta." (Hadis riwayat Bukhari)

Sharing is Caring.

Sesungguhnya Sabar Itu Amat Indah.

sesungguhnya, Allah selalu menyediakan jalan bagi meleraikan kekusutan hamba-Nya yang selalu mengingati-Nya dengan pelbagai sentuhan.

Ketika hati dirundung sunyi..
Solusinya : Innallaha ma'ana(Sesungguhnya Allah bersama kita)

Ketika hati mengimpikan sesuatu…
Solusinya : Man jadda wa jadda(Siapa yang berusaha,dia akan berjaya)

Ketika perasaan diluapkan rindu kepada seseorang…
Solusinya : Ma fi qalbi ghairullah(Tiada dalam hatiku melainkan Allah)

Ketika syaitan dan iblis datang mengganggu…
Solusinya : Inni akhafullah(Sesungguhnya aku takutkan Allah)


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran :

1.Sabar adalah sifat mulia (mahmudah) yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam.

2.Untuk memiliki sifat sabar, perlulah ada latihan yang berterusan.

3.Orang yang berusaha melatih dirinya bersabar dan terus bersabar adalah orang dikasihi serta dekat dengan Allah s.w t. Allah memandangnya dengan pandangan rahmat.

4.Orang yang banyak bersabar dalam membentuk dirinya untuk menjadi seorang penyabar (as-Sobirun), tidak akan disia-siakan Allah. Akhirnya, ia akan ditulis di sisi Allah sebagai hamba yang penyabar.

5. Apabila seseorang memiliki sifat sabar, maka ia telah memiliki kebaikan dan keuntungan yang banyak.

6. Apabila seseorang dianugerahkan sifat sabar, maka ketahuilah bahawa Allah taala mahu memberikan kepadanya manfaat yang besar lagi luas, berpanjangan dari dunia sampai akhirat.

7. Antara keutamaan sifat sabar ialah:
a. masuk syurga tanpa hisab (perhitungan)
b. diampunkan dosa-dosa yang lalu
c. memilliki iman yang sejati.

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
“Orang ramai dari golongan Ansar meminta-minta daripada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memberi permintaan mereka. Kemudian mereka meminta lagi. Baginda memberi lagi permintaan mereka, sehinggalah habis apa yang ada pada baginda.

Baginda bersabda:


"Apa pun kebaikan yang ada padaku, maka aku tidak akan menyembunyikannya dari kamu sekalian. Sesiapa yang menjaga kehormatan diri, maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya. Sesiapa yang berpada iaitu berpuas hati dengan apa yang ada maka Allah mencukupkannya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menganugerahkannya kesabaran. Seseorang itu tidak dikurniakan sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas selain daripada sabar.”

MasyaAllah.. Subhanallah.. Sesungguhnya SABAR ITU INDAH..

Sharing is Caring.

Ikhlasnya Seorang Lelaki.

Bacalah cerita ini, ia cukup menyentuh sanubari.. Jadikan ia pengajaran hidup bahawa tidak ada kesempurnaan yang akan dapat menyempurnakan sebuah ketidaksempurnaan melainkan dengan keikhlasan di dalam setiap pemberian..

Seorang lelaki dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh megah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut. Suatu acara yang luar biasa dan sungguh mengesankan. Mempelai wanita begitu cantik dan anggun dalam gaun putihnya dan pengantin lelaki dengan tuxedo hitam yang gagah. Setiap pasang matayang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling menyintai dan sepadan.

Beberapa bulan kemudian, si isteri berkata kepada suaminya:

“Abang, sayang baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita”, katanya sambil menunjukkan majalah tersebut. “Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita.

Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia …”.

Suaminya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama. Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing.

Esok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya. “Sayang mulakan dulu ya, bang? ”, kata isteri. Dia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 3 muka surat …

Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri suaminya, ia memperhatikan bahawa airmata suaminya mulai mengalir … “Maaf,abang, perlukah sayang berhenti ?” tanyanya. “Oh tidak,teruskan, sayang …” jawab suaminya.

Lalu si isteri melanjutkan membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia,”Sekarang giliran abang membacakan senarai mu”.

Dengan suara perlahan suaminya berkata, “Abang tidak mencatat sesuatupun di atas kertas abang ini. Pada fikiran abang, sayang sudah sempurna, dan abang tidak ingin mengubah sesuatu apapun tentang dirimu. Sayang adalah dirimu sendiri. Sayang sudah cukup cantik dan baik bagi abang. Tiada satupun daripada peribadi sayang yang abang dapati kurang … Abang mencintai sayang seadanya dirimu dan kerana Allah menganugerahkanmu untuk abang sebagai amanah-Nya.”

Si isteri tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya..bahawa suaminya menerimanya apa adanya. Ia menunduk dan menangis …

Kasih-sayang adalah suapan nikmat dari Allah dan ia tidak boleh diukur dengan segala apa yang dimiliki manusia di atas bumi ini. Ia tidak boleh disia-siakan dengan berkira-kira tentang kecukupannya dan tidak boleh diputuskan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan dua kehidupan. Kehidupan kita dan kehidupan orang lain di bawah payung kasih-sayang Allah.

Sharing is Caring.

Penawar Kepenatan.

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata:
"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu.

Baginda s.a.w. berkata:
"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali.

Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini.

Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun" (Sabda Rasulullah SAW) "Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."

Sharing is Caring.